Friday, November 9, 2007

Khas Utk Sahabat............................

KELEMAHAN umat Islam kini kerana semakin jauh dengan Allah. Umat Islam yang cintakan dunia dan membesarkan kekayaan sedang menuju kepada kehancuran.
Nabi Muhammad SAW memberi peringatan mengenai perkara itu dalam hadis daripada Tsauban bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:
“ Akan datang suatu masa dalam waktu dekat, bangsa-bangsa (selain umat Islam) bersatu akan mengalahkan (memperagakan) kamu seumpama sekumpulan manusia berkerumun berebut-rebut akan hidangan makanan di sekitar mereka .
“Sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah! Apakah kerana sedikitnya kita (umat Islam) pada waktu itu? Rasulullah menjawab: “ Bukan, bahkan kamu pada waktu itu adalah golongan teramai (majoriti), tetapi kualiti kamu pada waktu itu bagaikan buih-buih lautan yang dibawa oleh arus air. Allah mencabut daripada hati musuhmu perasaan takut kepada kamu dan Allah mencampakkan perasaan 'wahn' ke dalam hati kamu. Sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah! Apa yang dimaksudkan 'wahn' itu ? Rasulullah menjawab : “ Cinta dunia dan takut mati. ” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menerang dan mengingatkan kekalahan dan kelemahan umat Islam iaitu cintakan dunia dan takut mati.
Itulah yang dikatakan penyakit ' wahn ' yang menyebabkan lumpuhnya umat Islam pada satu-satu zaman. Ia menyebabkan umat Islam menjadi bahan pemerasan, penindasan dan penganiayaan daripada pihak lain.
Umat Islam akan dikalahkan jika mereka terlalu cintakan dunia dan terlampau asyik kepada kebendaan. Maksudnya, hati umat Islam tertambat pada kemewahan dunia, memperkayakan diri dengan mencari kedudukan dan pangkat. Dalam erti kata lain, dunia menjadi matlamat mereka.
Cinta kepada dunia bukan sekadar cinta, tetapi lebih daripada itu. Golongan itu rakus kepada dunia untuk kepentingan peribadinya. Dia mencari nafkah selepas mendapat makanan yang cukup, tetapi mahu lebih daripada itu.
Orang seumpama itu, bukan saja bekerja keras supaya memperoleh kekayaan lebih banyak, malah berusaha dengan tidak menghiraukan hukum sama ada ia dimiliki secara haram atau sebagainya.
Mereka mencari kepuasan dunia dengan tidak mempedulikan halal dan haram. Inilah yang dimaksudkan dengan cinta dan tamak haloba.
Penyakit cinta dunia ini akan memalingkan tujuan hidup mencari keredaan Allah kepada mencari keuntungan bersifat kebendaan sehingga untung rugi hidup diukur dengan untung ruginya kebendaan.

No comments: